23 Nov 2008

Sedikit Kata²

0 Comments

Assalamu'alaykum..

Sekadar ingin berkongsi sedikit kata-kata hikmah yang dijumpai.

Darkness cannot drive out darkness; only light can do that. Hate cannot drive out hate; only love can do that.
-martin luther king jr.-

Sebagai contoh, hati yang dipenuhi dengan kegelapan tidak akan bercahaya semula dengan kegelapan di sekelilingnya. Hanya Nur Ilahi (cahaya) yang mampu menerangi kegelapan di dalam hati. Bila terasa hati dalam kegelapan atau diri terasa jauh terpesong dari jalan Allah, kembalilah kepada panduan yang telah Allah berikan. Allah telah menurunkan Al-Quran sebagai panduan. Tinggal kita saja untuk mengamalkannya.

Orang yang membenci tidak boleh dilawan dengan kebencian jika ingin melembutkan hatinya. Orang yang melakukan kejahatan tidak perlu dibalas dengan kejahatan kerana itu hanya menambahkan keburukan sedia ada. Api tidak boleh dilawan dengan api kerana hanya akan menghasilkan api yang lebih besar dan membinasakan. Benci dilawan dengan sayang. Jahat dilawan dengan baik. Api dilawan dengan air. Lawanlah sesuatu keburukan dengan lawan sifatnya.

Orang bijaksana tidak sesekali duduk meratapi kegagalannya, tapi dengan lapang hati mencari jalan bagaimana memulihkan kembali kerugian yang dideritainya.

Seperti mutiara kata di atas, orang yang bijak tidak akan mengeluh dan bersedih dengan kesalahan atau kegagalan yang dihadapi. Orang yang bijak akan mencari jalan untuk memperbaiki kesilapan dan kegagalan lalu untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Orang yang berfikiran luas sentiasa memikirkan perkara yang positif dalam setiap tindakannya. Dia akan mencari jalan yang dirasakan terbaik untuk dirinya dan orang disekelilingnya.

Kegagalan yang sebenar bukanlah apabila kita gagal dalam melakukan sesuatu, tetapi apabila kita gagal untuk bangun kembali setelah jatuh tersungkur dengan kegagalan lalu. Orang yang berputus asa tanpa mencuba itu teruk. Orang yang berputus asa kerana gagal setalah mencuba itu lebih teruk. Kerana baginya, "Aku telah mencuba namun gagal, oleh itu, apa gunanya aku mencuba lagi jika hasilnya sama seperti ini?" Orang yang berfikiran begini, mempunyai pemikiran yang sempit dan tidak mempunyai matlamat hidup.

Orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki hal-hal terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap hal yang hadir dalam hidupnya.

Apabila kita melakukan sesuatu dengan kadar yang terbaik, kita akan berpuas hati dengan hasilnya. Mungkin pada orang lain, itu bukanlah yang terbaik. Namun, kita lebih mengetahui diri kita. Asalkan kita sudah mencuba yang terbaik, kita juga akan mendapat yang terbaik untuk diri kita. Terbaik bukanlah terhebat, teratas atau termahal. Terbaik merupakan sesuatu yang paling sesuai dan menepati diri kita.

Itu saja yang ana dapat kongsikan bersama kali ini.

Wassalam..

0 suara[²]: