9 Nov 2007

perlawanan persahabatan bola sepak 1 thabat vs 1ihsan

0 Comments

salam.........
pd bile arrrr...hah hari jumaat ari last
skol.1thabat lawan 1 ihsan. 1 ihsan menang....
tupun sebab campur or import ramai budak
klass lain klass form 1 lain....mane adil.
tp camne 1thabat terpaksa redha je......
mungkin ade hikmah di sebalik kejadian ari
tue....
ok sampai disni sajelh.....
wassalam......
selamat bercuti......!!!!

6 Nov 2007

selamat bercuti....

0 Comments

selamat bercuti kepada semua batch 13..
tahun 2007 dh pun nk abis....
camne ngan azam kita thn ni... dh
tercapai ke blum....
muhasabahlah sendiri...
adkh diri kita pd tahun ni lebih baik dr
tahun sebelumnya atau sebaliknye..
renung2knlh....
wassalam...

p/s : time cuti jgn tinggal solat dn study ntuk thn depanyer....

24 Sep 2007

MUZIK : DARI MUBAH KPD HARAM

0 Comments

Imam al Ghazali ada menyebutkan lima faktor yang menyebabkan berpindahnya hukum mendengar muzik/nyanyian daripada mubah kepada haram.

Diantaranya ialah:

Penyanyi: Jika penyanyi adalah seorang wanita yang tidak halal bagi orang ramai untuk melihatnya dan dikhuatiri akan timbul fitnah dari mendengarkan nyanyiannya.

Maka punca pergharamannya adalah kekhuatiran akan timbulnya fitnah, bukan sebab menikmati nyanyian itu sendiri. Al Ghazali sendiri berpendapat bahawa pengharaman disini adalah akibat kekhuatiran akan timbulnya fitnah. Beliau memperkuat pendapatnya itu dengan hadith tentang dua orang wanita di rumah 'Aisyah.

Diketahui bahawa Rasulullah saw. ada mendengar suara(nyanyian) mereka berdua dan baginda tidak menghindar diri daripada mendengarnya. Tentu sahaja tidak ada sebarang kekhuatiran akan terjatuhnya baginda ke dalam fitnah, kerana itu baginda tidak menghindarkan diri daripadanya.

Alat muzik: Sebahagian alat muzik menjadi simbol kepada kaum pemabuk atau merupakan lambang sesetengah kaum pondan.

Alat-alat tersebut ialah seruling, alat petik, dan gendang lesung. Tiga jenis alat muzik ini adalah terlarang. Selain daripada tiga jenis itu seperti kompang, memakai gerincing atau tidak , tabla , memukul batang-batang besi dan lain-lain adalah mubah.

Senikata: Iaitu jika terdapat di dalamnya kata-kata yang bersifat keji, maksiat, penghinaan, atau sebarang kata yang bersifat mendustakan Allah Ta'ala, Rasul dan para sahabat, seperti senikata dalam sajak-sajak yang di karang oleh golongan syiah yang isinya menghina para sahabat r.a.

Maka mendengar lagu atau sajak seperti ini hukumnya haram, dan orang yang mendengar berkongsi dosa dengan orang yang menyanyikan atau mengucapkannya. Begitu juga jika terdapat didalam senikata tentang seorang want tertentu. Tidak boleh seorang wanita disebut-sebut di hadapan kaum lelaki.

Adapun puisi-puisi cinta yang menyebutkan tentang pipi, warna kulit, serta sifat-sifat wanita secara am, pendapat yang sohih adalah: tidak diharamkan mengucapkan dan menyanyikannya. Tetapi para pendengar dilarang untuk menghubungkannya dengan seorang wanita yang tidak halal baginya maka dia telah jatuh ke dalam kemaksiatan disebabkan perbuatan menghubung-hubungkan itu.

Pendengar:

1 : Mereka yang dikuasai oleh nafsu syahwat dan gejolak darah muda. Mendengar muzik dalam keadaan tersebut adalah haram baginya, sama ada dia telah dirasuki kesukaan terhadap seorang wanita ataupun tidak. Dalam keadaan bagaimanapun jika dia mendengarkan senikata yang menggambarkan keindahan pipi dan alis mata, atau menceritakan tentang perpisahan dan pertemuan maka syahwatnya bergejolak dan diapun mulalah mengkhayalkan seorang wanita tertentu. Kemudian syaitan akan datang untuk meniup api yang sedang berkobar di dalam hatinya itu. Maka berkobarlah api syahwat dalam dirinya dan timbullah dorongan untuk berbuat kejahatan.

2 : Iaitu kalangan awam yang tidak kuat kecintaannya kepada Allah Ta'ala, tetapi dia sangat suka mendengarkan muzik meskipun tidak dikuasai oleh hawa nafsu. Maka mendengar muzik bagi golongan ini adalah terlarang. Pada dasarnya muzik adalah mubah seperti layaknya sebahagian hiburan yang lain. Tetapi jika seseorang menjadikannya sebagai satu adat dan kebiasaan serta menghabiskan hampir semua masanya untuk muzik, maka inilah perbuatan yang bodoh yang harus di kembalikan kepada kefahaman syahadah dan tuntunannya. Terleka dan terlena dalam bermain-main adalah jenayah.

Begitu pula dosa kecil, jika dilakukan secara terang-terangan dan berterusan akan berubah menjadi dosa besar dan perkara-perkara mubah yang dilakukan secara terus-menerus pula dapat berubah menjadi dosa kecil. Di dalam perbahasan di atas Imam al Ghazali mengatakan bahawa alat petik dan seruling merupakan alat-alat yang dapat merubah hukum mubah kepada haram. Pendapat beliau itu adalah bersandarkan kepada sumber syarak yang mengharamkannya. Beliau berijtihad mencari alasan pengharaman itu dan berjaya mentafsirkan dan menerangkannya dengan sebaik-baiknya.

Beliau menyimpulkan bahawa syari'at mengharamkan alat-alat muzik di atas bukan kerana kelazatan dan kenikmatan yang dihasilkan. Jika punca pengharaman adalah kenikmatan nescaya haram pulalah seluruh kenikmatan lainnya yang dirasakan oleh manusia. Pengharaman khamar menuntut usaha keras untuk memisahkan manusia dari ketagih.

Dimulakan dengan memecahkan botol-botol khamar dan dengan pengharaman setiap perkara yang menjadi lambang kepada kaum peminum, iaitu seruling dari alat muzik petik. Maka pengharaman alat muzik ini adalah disebabkan kerana ia sentiasa mengikut kebiasaan peminum khamar. Demikian pulalah sebab diharamkannya berkhalwat dengan wanita yang bukan muhrim kerana ia merupakan permulaan yang dapat mengheret kepada jenayah.

Pengharaman terhadap beberapa dosa besar membuat diharamkan pula beberapa perkara yang menjadi punca berlakunya dosa tersebut. Tujuannya adalah untuk menjaga dan memelihara manusia agar tidak terjatuh di dalam mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar.

Maka seruling dan alat petik diharamkan mengikut kepada pengharaman khamar kerana tiga sebab:

Pertama : Ia membawa seorang kepada meminum khamar, kenikmatan yang dihasilkan oleh alat muzik tersebut dirasakan tidak sempurna tanpa meminum khamar.

Kedua : Hubungannya dengan budaya minum khamar sangat kuat sehingga dengan serta merta ia mengingatkan kita akan majlis-majlis khamar. Ingatan terhadap khamar dapat menimbulkan ghairah seseorang kepada khamar.

Ketiga : Berjinak-jinak dengan adat dan kebiasaan kaum yang fasik. Adalah terlarang bagi seorang muslim untuk meniru-niru (tashabbuh) kebiasaan mereka, sebab sesiapa yang meniru-niru satu kaum maka dia tergolong kedalamnya.

Selepas ulasan dan perbahasan yang menarik ini Imam al Ghazali berkata:
"Dengan demikian jelaslah bagi kita bahwa sebab pengharaman alat-alat muzik itu (seruling dan alat petik) bukanlah kerana kenikmatan yang dihasilkannya. Bahkan setiap perkara yang baik dan bagus itu dapat dikiaskan sebagai halal, kecuali jika terdapat di dalamnya sebarang kerosakannya."

Allah swt. berfirman: Terjemahannya:
Katakanlah "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah di keluarkan Nya untuk hamba Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?....(surah al Araaf: 32)

Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Imam al Ghazali. Sebenarnya tidak ada satu hadis pun yang sahih sanadnya dan jelas dan jelas matannya mengharamkan alat muzik dan seruling seperti yang disangkakan oleh orang ramai. Imam Ghazali r.a. menganggap bahawa hadis yang berkenaan dengan perkara ini adalah hadis yang dapat diterima pakai.

Oleh sebab itu, beliau terpaksa menafsirkan dan menjelaskannya dengan alasan-alasan seperti di atas. Jika beliau mengetahui sanad-sanad periwayatan hadis tersebut tentunya beliau tidak perlu bersusah payah mengemukakan penjelasan itu. Walau bagaimana pun hujah dan alasan yang di kemukakan itu cukup bermanfaat bagi mereka yang tidak menerima kelemahan hadis berkenaan isu ini

Permasalahan Ikhtilat

0 Comments

'IKHTILAT' Hukum dan Dalil Permasalahan 'ikhtilat' kalangan lelaki dan perempuan sering menjadi topik hangat dalam perbualan harian kita. Ada yang mengatakan 'ikhtilat' dibolehkan, dan sebahagian yang lain pula mengatakan tidak boleh. Ini kerana tidak ramai di kalangan umat Islam yang betul-betul memahami apa itu 'ikhtilat' dari segi hukum dan syariat, adakah ianya dibenarkan atau tidak.Tulisan ini akan cuba mengupas serba sedikit tentang permasalahan 'ikhtilat' dari segi takrif, hukum-hakam dan dalil-dalil yang berkaitan 'ikhtilat' serta beberapa jenis 'ikhtilat' yang dibenarkan di dalam Islam.

TAKRIF 'Ikhtilat' berasal dari kalimah arab. Dari segi bahasa, ia bermaksud percampuran unta dan manusia serta binatang ternakan. Adapun dari segi istilah pula, ia bererti percampuran atau pergaulan wanita bersama lelaki pada suatu tempat yang pada kebiasaannya akan membawa kepada saling berjumpa, melihat, dan berinteraksi sesama mereka. Melalui takrif tadi, timbul persoalan, adakah 'ikhtilat' ini dibolehkan oleh Islam atau tidak?

Terdapat 2 pendapat kalangan para Ulama di dalam permasalahan 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita.
  1. Pendapat pertama mengatakan ianya termasuk di dalam perkara yang dilarang.
  2. Manakala pendapat kedua mengatakan ianya termasuk di dalam perkara yang diharuskan.

1) DALIL-DALIL LARANGAN IKHTILAT

Dalil Pertama : Larangan terhadap wanita yang bermusafir seorang diri dengan tanpa ditemani oleh mahramnya dan larangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan.

Maksud dari sabda Nabi s.a.w. :
"Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan ia ditemani oleh mahramnya, dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."
"Tidak boleh seseorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) bersama seorang perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."

Dalil Kedua : Wanita tidak diwajibkan keluar menyertai jihad.

Dari Aisyah RA katanya: "Aku telah meminta izin daripada Rasulullah untuk berjihad, lalu Nabi menjawab: "Jihad kamu (kaum wanita) adalah menunaikan haji".

Dalil Ketiga : Wanita tidak diwajibkan menghadiri solat jamaah di masjid seperti yang telah disepakati oleh para ulama Fekah.

Ulama berselisih pendapat pada hukum penyertaan wanita di dalam solat jemaah di masjid:
  1. Sebahagian ulama berpendapat bahawa makruh ke atas wanita-wanita muda untuk hadir solat berjemaah di masjid.
  2. Sebahagian lagi mengatakan ianya adalah harus ke atas wanita-wanita yang sudah berumur (tua). Namun, pendapat yang paling kuat adalah kaum wanita diharuskan menunaikan solat berjemaah di masjid dengan keizinan dari suami atau walinya dengan syarat:
  • Tidak boleh memakai bau-bauan wangi.
  • Tidak berlaku percampuran (ikhtilat) antara wanita dan lelaki ketika menuju ke masjid.

Bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' ketika menunaikan solat, kaum wanita diwajibkan bersembahyang di belakang kaum lelaki. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya :
Janganlah kamu menghalang wanita kamu untuk hadir ke masjid, namun rumah-rumah mereka lebih baik untuk mereka.

Dalil Keempat : Beberapa hukum-hakam yang dikhususkan untuk kaum wanita Islam telah mengkhususkan beberapa hukum-hakam untuk kaum wanita ketika menunaikan ibadat haji bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita.

Di antaranya, mereka tidak digalakkan menghampiri Ka'abah sewaktu kaum lelaki sedang melakukan tawaf supaya tidak berlakunya 'ikhtilat'. Selain itu, kaum wanita juga diberi rukhsah (keringanan) untuk melontar jamrah pada Hari Nahar (hari penyembelihan) sebelum terbit fajar bagi mengelakkan kesibukan dan 'ikhtilat' bersama lelaki.

Dalil Kelima : Larangan wanita berjalan bersama kaum lelaki di satu jalan yang boleh menyebabkan percampuran (ikhtilat).

Di sana terdapat hadis Rasulullah SAW yang menerangkan bahawa baginda telah melihat percampuran di antara lelaki dan wanita di jalanan, lantas baginda SAW menyuruh para wanita supaya berjalan di tepi jalan bagi mengelakkan berlakunya 'ikhtilat' di antara mereka.

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan tentang larangan 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi 'ikhtilat' yang boleh menimbulkan fitnah.

2) 'IKHTILAT' YANG DIBOLEHKAN

Di sana terdapat beberapa jenis 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita yang dibenarkan oleh Islam, terutamanya yang jika ianya berkaitan dengan tuntutan Syara`, keperluan atau yang seumpama dengannya. 'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah'Ikhtilat' yang berkaitan dengan muamalah yang dibenarkan oleh Syara` seperti urusan jual beli, urusan penghakiman, atau keadaan-keadaan yang memerlukan seseorang wanita itu menjadi saksi dalam sesuatu permasalahan seperti masalah berkaitan harta atau perkara yang berkaitan dengan urusan wanita walaupun pada kebiasaannya urusan-urusan tersebut akan membawa kepada 'ikhtilat'.

Firman Allah maksudnya:
Persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki di antaramu. Jika tiada dua orang lelaki, maka seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai.

'Ikhtilat' yang berlaku sewaktu menjadi saksi. Seseorang wanita boleh menjadi saksi di dalam kes-kes tertentu yang walaupun berlakunya percampuran sewaktu proses penyaksian sedang berjalan. Dan ayat di atas jelas menunjukkan bahawa harus bagi kaum wanita menjadi saksi dalam sesuatu kes.

'Ikhtilat' bertujuan melayani tetamu. Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.

'Ikhtilat' sewaktu peperangan jihad fisabilillahPara wanita di zaman Rasulullah SAW dan zaman para sahabat turut serta bersama- sama kaum lelaki pergi berjihad di medan peperangan. Mereka membantu para pejuang seperti memberi minum, merawat kecederaan serta meniupkan semangat jihad kepada para lelaki untuk terus berjuang. Begitu juga diharuskan juga 'ikhtilat' antara lelaki dan wanita dalam satu perhimpunan mendengar tazkirah serta peringatan yang berkaitan dengan agama.

'Ikhtilat' di dalam kenderaan awam. Adapun wanita terdedah kepada 'ikhtilat' sewaktu menaiki kenderaan awam untuk menyelesaikan sesuatu urusan seperti menziarahi ibu-bapa, sahabat- handai, pesakit, atau membeli keperluan harian, maka 'ikhtilat' seperti ini adalah dibenarkan di dalam syarak.

Perlu diingatkan bahawa bentuk-bentuk keizinan 'ikhtilat' yang telah disebutkan tadi tidak bermakna wanita boleh bebas bercampur gaul dengan kaum lelaki. Ini kerana hukum asal ikhtilat itu sendiri sudah jelas. Oleh para wanita wajib menjaga segala adab-adab dan hukum syara` yang berkaitan dengannya.

Para wanita juga perlu ditemani suami atau mahramnya ketika menjalankan urusannya. Hukum-hukum di atas juga merangkumi hubungan dan pergaulan seseorang wanita dengan kaum kerabat yang bukan mahram seperti sepupu, ipar duai dan seumpamanya. Ramai wanita memandang enteng perkara ini. Contohnya membuka aurat di hadapan sepupu serta tidak menjaga adab-adab wanita Islam dengan berhujah bahawa mereka adalah kaum kerabat dan hubungan kekeluargaan yang amat rapat.

Kesimpulannya

Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau 'ikhtilat' di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa. Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan hariannya dengan kaum Adam.

Ini kerana 'ikhtilat' yang melanggar batas-batas syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di dalam kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.

Wallahua'lam.