5 Sept 2011

Komsas

0 Comments

Di sini terdapat sinopsis2 komsas

http://bm.cemerlangbm.com/

3 Sept 2011

Empat Unsur Kecemerlangan Diri

0 Comments


Jasad:-
Jasa ialah bentuk fizikal manusia. Amalan hidup yang sihat amatlah penting untuk merangsang jasad. Kita tahu akan kewujudan jasad apabila kita berasa sakit akibat terluka dan sebagainya. Dorongan emosi negative yang berlebihan akan membuatkan kita tertekan dan mewujudkan pelbagai jenis penyakit seperti migraine, sakit jantung dan darah tinggi. Kajian menunjukkan orang yang tidak memperolehi ketenangan diri dari segi rohani, mental dan emosi mempunyai jasad yang tidak sihat dan mudah terdedah kepada penyakit.

Emosi:-
Emosi merupakan aspek perasaan yang berhubung rapat dengan minda dan rohani. Emosi wujud daripada pemikiran yang mencetuskan perasaan dan kemudian membentuk perilaku. Emosi mampu dirangsang dengan adanya sifat- sifat positif iaitu sabar, tabah, tiggi daya tahan, dan sebagainya.

Minda:-
Minda berkait rapat dengan keseluruhan diri, emosi, dan jasad kita. Walaupun kita mengenali otak sebagai organ yang mencetuskan idea dan pemikiran, tetapi ia sebenarnya tidak terhad kepada fungsi itu semata- mata. Para penyelidik Barat tidak dapat mendefinisikan dengan sebenar- benarnya maksud minda. Tetapi kita boleh definisikan minda sebagai pembentuk diri dan ingatan yang diasaskan oleh otak ( hardware ) dan minda separa sedar ( subconscious ) yang berfungsi secara total.

Rohani:-
Rohani ialah unsur yang paling penting dalam diri manusia. Tuhan telah menghidupkan kita dengan meniupkan roh ke dalam jasad kita. Apabila manusia menemui ajalnya, asa akan hancur tetapi roh akan kekal selama- lamanya.

Pendekatan Kecemerlangan Akedamik Bijak Belajar

0 Comments



1. Bijak menentukan pendiriran:-

Berapa pun A yang diperolehi ( semua A beberapa Aataupun tiada A dalam SPM saya sendiri yang menentukannya bukan orang lain.

2. Bijak menguasai pelajaran:-

Bagi menguasai sesuatu subjek, saya mesti mengamalkan sepenuhnya strategi S.A.T.U.

3. Bijak menetapkan matlamat peperiksaan:-

Seperti pelajar yang lain, saya perlu ada matlamat SPM yang khusus dan mencabar.

4. Bijak mengurus masa yang terhad:-

Dahulukan atau utamakan aktiviti yang memberi sumbangan terbesar kepada matlamat. Manfaatkan 100 % masa belajar di sekolah dan selepas sekolah.

5. Bijak mempupuk semangat kemenangan:-

Saya mesti sentiasa meyakini bahawa selagi saya berusaha saya tetap berpeluang untuk meraih kejayaan.

6. Bijak bertindak sehinggah berjaya:-

Usaha yang bersungguh- sungguh dan segera secara konsisten ( berterusan ) dari awal yang boleh menjamin kejayaan seseorang pelajar.


Lima perkara yang mesti dibuat tiap- tiap hari.

1. Ibu kunci kejayaan akademik ialah faham, untuk kuasai setiap subjek mesti faham

2. Guna hujung minggu:-
     Hari sabtu:- gunakan untuk ulang kaji semua tajuk yang telah diajar oleh guru 
     seminggu yang lalu
     Hari ahad:- Gunakan untuk buat persedian awal.

3. Bagi memotivasikan diri untuk belajar bersungguh- sungguh mesti ada matlamat
     belajar yang khusus dan mencabar. Maklumat berkenaan mensti dirujuk tiap- tiap
     hari.

4. Put First Thing First,  saya mesti utamakan aktiviti penting ( memberi sumbangan
     terbesar kepada matlamat ) dan hentikan pembazairan masa.

5. Sebelum saya boleh mendapat A salam setiap subjek, saya mesti nampak A dalam
     subjek berkenaan dalam fikiran saya terlebih dahulu.

Tatabahasa

0 Comments


Cara menjawab soalan Komsas

0 Comments


Pemahaman Komsas
- 26 markah [35 - 9 daripada Pemahaman Umum]

Walaupun markahnya 26 sahaja dengan 8 -9 soalan daripada 3 bahagian, namun kalau anda peka dan tahu teknik untuk mendapatkan markah atau menjaga markah supaya tidak diambil @dipotong @didenda oleh pemeriksa, senang-senang sahaja anda akan mendapat markah penuh. Tak percaya? Ikut nasihat ini:


  • Baca soalan dan jawab berdasarkan kehendak soalan. [mungkin anda akan kata, memanglah... tapi ketahuilah murid-murid sekalian, banyak pelajar yang tersilap kerana tidak menjawab soalan yang ditanyakan.]
  • Jangan pula tak jawab soalan dan dibiarkan kosong. Sah 0 markah; dapat juga markah kan? Tapi kosonglah.
  • Apabila menjawab soalan, pastikan anda menjawab soalan itu dengan lengkap. Tatabahasa mesti betul. Ejaan dan tanda baca mesti betul. Jangan nak cepat, tulis tu main tarik saja, sampai n jadi u dan sebagainya. Jangan pula buat ejaan seperti yang biasa dalam dunia siber atau sms. Nahas tu! [Nampak remeh kan? Tapi perkara ini semua sangat penting. Kadang-kadang kerana kelalaian kita, percuma saja kita buang markah yang amat berharga]
  • Soalan 1 biasanya akan bertanya tentang makna kata atau frasa atau maksud perenggan. Bagi makna kata atau frasa, berikan kata sinonim yang lain. Bagi puisi moden atau tradisional - apabila anda menjawab, sila gunakan bahasa prosa moden. Gunakan ayat anda sendiri. Jangan cedok bulat-bulat ayat pantun, seloka atau sajak itu. Berikan maksud mengikut pemahaman anda (sebagaimana yang anda telah pelajari). Begitu juga dengan prosa tradisional. Guna ayat sediri iaitu bahasa moden. (jangan pula guna bahasa sms - parah)
  • Soalan kedua biasanya soalan kbkk. Jawaban bagi soalan ini hendaklah daripada calon sendiri @ pendapat calon. Sekiranya calon menuliskan isi-isi atau perkara-perkara yang yang ada dalam petikan, markah 0 akan diberikan. [tak jawab soalan- anda didenda]. Namun demikian, jawaban bagi soalan ini hendaklah berkaitan dengan topik, jangan suka-suka hati nak beri pendapat sendiri tetapi tak ada kaitan.
  • Sekiranya soalan yang ditanyakan itu wajar atau tidak, anda harus bijak. Walaupun anda boleh memilih sama ada wajar atau tidak, tetapi anda haruslah bijak memilih yang mana lebih baik, yang sepatutnya, dan yang mudah untuk ditanda oleh pemeriksa atau yang pemeriksa selesa. (ini pendapat saya sahaja)
  • Pastikan anda memberikan pendapat yang dihuraikan. Kalau boleh berikan beberapa pendapat. Tulis lebih tak apa asal tatabahasa terpelihara. Saya selalu bercakap kepada pelajar-pelajar saya bahawa kalau seseorang itu mahu mandapat A dalam BM, dia hendaklah rajin menulis, menulis dan menulis. Jangan lupa, serlahkan kematangan anda dalam huraian pendapat anda itu.
  • Soalan ketiga biasanya berkaitan dengan unsur komsas. Dalam prosa tradisional, jarang ada soalan aspek komsas. Tahun ini tak tahulah.
  • Aspek Komsas yang biasa ditanyakan ialah tema, persoalan, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, nilai dan sebagainya sebagaimana yang anda telah pelajari. Kadang-kadang ada soalan begini:
  • Jelaskan 2 nilai berdasarkan petikan dan dua nilai berdasarkan keseluruhan cerpen. Bagaimana nak jawab? Dua nilai daripada petikan ialah nilai kasih sayang dan tabah. Mama Zel amat menyayagi Zel dan memberikan hadiah sebuah komputer bersempena hari lahirnya. Mama Zel tabah menghadapi pelbagai dugaan hidup sebagai ibu tunggal yang perlu mencari sara hidup sendiri manakala dua nilai daripada keseluruhan cerpen pula ialah nilai tekun dan nilai yakin diri. (kemudian berikan contoh kedua-dua nilai tersebut).
  • Nampak macam panjang kan? Tapi tak apa, lebih baik bagi lebih daripada beri kurang. Objektif kita ialah untuk mendapatkan markah yang diperuntukkan itu.
  • Jangan keliru antara nilai dan persolan kerana kadang-kadang ada nilai yang juga merupakan persoalan. yang pentingnya bagaimana anda menuliskan nilai itu sebagai persoalan. Contoh: kasih sayang ialah nilai, bagaimanakah kasih sayang menjadi persoalan? Salah satu caranya ialah dengan meletakkan perkataanpersoalan di hadapan kasih sayang >>> persoalan kasih sayang atau tambahkan perkataan lain contoh antara keluarga. Persoalan kasih sayang antara ibu dan anak dsb. Yang pentingnya, apabila anda menjawab soalan persoalan, jangan sesekali samakan persoalan dengan nilai kerana pemeriksa akan keliru untuk memberikan anda markah. Jangan kelirukan pemeriksa.
  • Apa lagi ya? Oh ya, jangan seronok sangat menulis hingga anda mengabaikan masa. Rancang masa anda dengan baik dan jawab semua soalan. Saya doakan anda semua akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM khususnya dalam BM. Malam ini tidurlah dengan lena selepas berdoa semoga kerja keras anda selama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang. Esok, bangun dengan segar dan penuh semangat dan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hak anda.

Cara menjawab soalan Pemahaman

0 Comments


PANDUAN MENJAWAB SOALAN

Soalan 2 (a).

  • Soalan ini wajib dijawab.
  • Berdasarkan petikan untuk soalan Rumusan. 
  • 3 soalan akan dikemukakan yang terdiri daripada:
    • 2 soalan pemahaman langsung terhadap kandungan petikan.
    • 1 soalan pemahaman atau aplikasi yang berasaskan KBKK.
  • Soalan pemahaman langsung terhadap kandungan teks menyoal berasaskan kata tanya berikut:
    • Apa...
    • Siapa...
    • Di mana...
    • Mengapa/Kenapa...
    • Bagaimana...
    ataupun menggunakan arahan berikut:
    • Jelaskan...
    • Terangkan...
    • Huraikan secara ringkas...
    • Gambarkan ...     
    dan sebagainya.
  • Soalan pemahaman/aplikasi berasaskan KBKK:
    • Pada pendapat anda,...
    • Sekiranya anda....
    • Jika anda....
    dan sebagainya. 

  • Baca petikan dari awal hingga akhir walaupun semasa menjawab soalan rumusan anda sudah membacanya.
  • Fahami apa yang terkandung dalam petikan.
  • Baca soalan dan garis kata kunci soalan.
  • Pastikan manakah soalan langsung dan soalan KBKK.
  • Padankan apa yang disoal dengan markah yang diperuntukkan kerana jumlah markah boleh menggambarkan berapa isi yang dikehendaki.
  • Tulis menggunakan ayat yang sempurna dari segi struktur ayat dan tanda baca yang digunakan.
  • Gunakan bahasa yang standard, bukannya yang dipengaruhi kata pinjaman atau loghat tempatan.
  • Sekiranya soalan terdiri daripada dua bahagian, jawab bahagian kedua dalam baris baru.
  • Untuk soalan KBKK terutama yang berkehendakkan pandangan anda, jangan sesekali menjawab secara melawan arus, iaitu menentang gagasan atau saranan yang dikemukakan.
  • Dicadangkan anda menggaris setiap isi yang dikemukakan dengan pensel.
  • Contoh soalan dan jawapan:
    Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia untuk membendung keganasan oleh golongan pelampau?                
    (3 markah)
    Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang wajar untuk mengatasi kegiatan ganas golongan pelampau dengan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),memantau kegiatan persatuan dan pertubuhan yang diragui serta memberi penerangan menerusi media massa. 

  • Dicadangkan anda menggunakan tidak lebih 15 minit untuk menjawab ketiga-tiga soalan dalam bahagian ini.

Cara Menjawab Rumusan

0 Comments


Rumusan
  • Jawab soalan ini dulu kerana inilah lubuk markah.
     
  • Saya cadangkan 10 patah kata untuk pendahuluan, 70 kata untuk isi tersurat, 25 patah kata untuk isi tersirat dan 15 patah kata untuk kesimpulan. Rancang perenggan anda dengan teliti.
     
  • Untuk pendahuluan, sila semak kata-kata sinonim untuk faktor, kepentingan, kesan dan sebagainya. Apakah makna perkataan ini? Natijah, kekangan, kemaslahatan, manfaat, gejala, strategi, . Sila cari makna yang tepat daripada kamus dewan.
     
  • Mulakan isi tersurat dengan (rujuk soalan, katakanlah faktor) Salah satu faktor keracunan makanan ialah (isi pertama). Selain itu, (isi ke-2), Seterusnya, (isi ketiga), Seperkara lagi, (isi ke-4), malahan (isi ke-5). Di samping itu(isi ke-6) dan juga, (isi ketujuh). Justeru bukan penanda wacana.
     
  • Kalau isi tersurat dah tulis 6, kira jumlah kata. Kalau baru 60, boleh tambah satu isi lagi. Kalau sudah 65 ke atas, semak semula kalau-kalau ada perkataan yang tak perlu untuk dibuang dan boleh tambah satu isi lagi. Kalau tidak, ada teruskan saja ke perenggan seterusnya iaitu menuliskan isi tersirat.
     
  • Mulakan isi tersirat dengan menuliskan kembali soalan untuk isi tersirat. contohnya usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan. Contoh: usaha-usaha untuk mengatasi keracunan makanan ialah (isi 1) dan (isi 2). Kalau belum cukup 25 patah kata, boleh tambah isi. Selain itu, (isi 3).
     
  • Kesimpulan hendaklah satu ayat sahaja yang terdiri daripada 2 unsur. Unsur pertama ialah cadangan anda iaitu apa/siapa yang patut melakukan sesuatu. Unsur kedua ialah mengapa cadangan itu patut dilaksanakan/kesan daripada cadangan itu. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk mengelakkan keracunan makanan (unsur pertama) agar keselamatan awam terjamin. (unsur kedua).
     
  • Kira balik jumlah perkataan dan kalau sudah berpuas hati, tuliskan jumlah perkataan yang benar di bawah rumusan anda.
     
  • Ingat, di samping itu dikira 2 perkataan. (di dan ke tidak dikira) Nama khas, walau panjang mana sekalipun dikira 1 perkataan dan kata ganda juga 1 perkataan.

Rumusan BM

0 Comments


BAHASA MELAYU
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
KOD 1103/2
KERTAS 2

SOALAN 1: Rumusan
(30 markah)


STRATEGI MERUMUS KARANGAN

PETIKAN 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah  tidak melebihi 120 patah perkataan.

             Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri  masyarakat yang berkualiti.  Semngat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

             Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir  dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlbih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan petolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yangbbesar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat  daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

             Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

             Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

            Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

                        (Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan    
                                                  Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,
                                                                            Utusan Malaysia, Jun 2003)


A:  STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

  STRATEGI 1:

  Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,
    -  Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.
       (masa dicadangkan 2 minit)
    -  Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman.
       (masa dicadangkan 5 minit)

  STRATEGI 2:

  Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan
  perkataan-perkataan tersebut.
  • Fokus 1 = Isi tersurat
  • Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiranmerupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.

  CONTOH 1

  Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang  
  faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk
  semangat kejiranan. [ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak
  melebihi 120 patah perkataan.


  STRATEGI 3:


  Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
  untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
  faedah-faedah hidup berjiran.

       Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni). [ISI 1]


  Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
  untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
  faedah-faedah hidup berjiran.

      Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpabencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita[ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2]Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

  Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
  untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
  faedah-faedah hidup berjiran.

        (Segala  perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah) [ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung) [ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.        


  Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
  untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
  faedah-faedah hidup berjiran.

          Perpaduan ialah  kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran). [ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka).[ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.


  Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat
  untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu
  faedah-faedah hidup berjiran.

           Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara) [ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.


  STRATEGI 4:


  Senaraikan Fokus 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan
  kira jumlah perkataannya.

  Isi-isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

  -  Dapat menjana kehidupan  setempat yang aman dan harmoni  [ 8 ]
  -  Mudah  memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]
  -  Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada
     kita. [ 11 ]
     Atau
  -  Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]
  -  Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]
  -  Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan
     kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]
  -  Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]
  -  Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat
     setempat.    [ 9 ]
  -  Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]
  -  Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan
     perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]
  -  Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]


  STRATEGI 5:


  Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

  PERINGATAN:
  -  Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu 
     memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad.
     Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah
     perkataan.
  -  Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama
     perenggan isi tersurat.

  CONTOH:

          Antara faedah hidup berjiran ialah  dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran.
[ 46 patah perkataan ]



B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT


  STRATEGI:

  -  Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam
     petikan yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara
     memupuk semangat kejiranan.
  -  Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan
     isi tersurat dan Fokus 2 dalam arahan soalan.
  -  Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi
     tersirat.
  -  Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan
     isi tersirat.


  STRATEGI 1:

  Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara
  memupuk semangat kejiranan.

  CONTOH :

  -  Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia
     memberi pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

  -  Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian /  ziarah menziarahi / perihatin
     atau ambil berat hal ehwal jiran /  bertanya kabar / pelihara hubungan
     kejiranan / bertegur sapa / saling mengenali  [ konsep : Interaksi tidak formal ]

  -  Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

  -  Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan /  tabung khairat.

  -  Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun
     tetangga / persatuan belia / JKKK  [ Konsep : Interaksi formal ]

  -  Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

  -  Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak
     sombong / berbaik sangka dengan jiran .


  STRATEGI 2:

  Membina perenggan isi tersirat.

  CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

        Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah  dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.
[ 23 patah perkataan ]



C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN

  STRATEGI :

  -  Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.
  -  Kenal pasti Fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan Fokus 1 itulah
     penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.
  -  Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu
     menjadi ayat anda sendiri.
  -  Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
  -  Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan /
     membicarakan …….


  CONTOH PENDAHULUAN:

  Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

  Pendahuluan:  

  Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di
  negara kita.

  atau

  Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup
  berjiran dalam masyarakat


D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN

  -  Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.
  -  Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
  -  Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut
     berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.
  -  Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan
     atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya,
     demi’.
  -  Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan
     bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.
  -  Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …

  CONTOH KESIMPULAN:

  Kesimpulannya,  semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang
  sejahtera dapat diwujudkan

  Atau

  Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam  
  masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat
  diwujudkan.



CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

    Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

   Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
    
   Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

   Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.
                                                                               [ 100 patah perkataan]